/* ini adalah untuk memasukkan google analytic* line 453/

Sunday, January 3, 2010

Hari Pertama Persekolahan 4 Januari 2010



Hari ini merupakan hari pertama sesi persekolahan 2010. Aku telah bangun seawal jam 5 pagi. Itupun kerana aku terjaga dengan sendirinya. Itu sudah menjadi kebiasaanku. Aku mungkin teruja untuk bertugas di tempat baru. Begitu juga Hanny. Dia juga teruja untuk belajar di sekolah baru. Cuma Harrith...masih lena. Aku dan Hanny cuba mengejutkannya. Memanglah liat sungguh nak bangunkan Harrith. Niatku nak masukkan Pra di SK Pt Nawi mungkin tidak kesampaian. Alhamdulilah...berkat kebijaksanaan Hanny...akhirnya Harrith berjaya dikejutkan. Suasana di kampung sememangnya sejuk. Apatah lagi setelah hujan turun awal 3 pagi tadi. Keadaan ini lebih merumitkan kami hendak pujuk Harrith mandi. Terpaksalah mama sediakan air panas untuk memujuk Harrith mandi. Setelah mandi , kami kemudian bersarapan. Masalah seterusnya ialah dapatkah kami memujuk Harrith supaya bersekolah di Pra Pt Nawi. Memang Harrith tidak mahu ikut kami ke sekolah. Dia mahu bersama mamanya. Puas kami pujuk dengan memberitahu Harrith kononnya mengajak dia melihat sekolah Hanny. Dalam perjalanan dia menangis-nangis hendak balik semula rumah. Pada ketika itu juga kami memujuk dengan pelbagai cara dan cerita yang dapat meredakan keadaan dia. Setelah tiba di sekolah Hanny, keadaan Harrith agak terkawal tetapi setelah menghantar Hanny, Harrtih kembali merengek supaya dihantar balik ke rumah. Aku terus memujuknya...Namun untuk berpatah kembali mungkin tidak mungkin. Aku harus tidak ke sekolah awal kerana hari ini adalah hari pertama persekolahan. Aku perlu hadir di perhimpunan mingguan sekolah pada hari pertama. Bagiku hari pertama sesi persekolahan adalah hari yang paling penting dalam hidupku sebagai seorang guru. Setelah sampai di sekolah, aku terus membawa Harrith ke kelas Pra. Kami disambut oleh pembantu Pra. Dia juga cuba memujuk Harrith namun Harrith tetap ingin mengikuti aku ke bilik guru dan seterusnya ke perhimpunan mingguan. Pagi ini kami berhimpun di Dewan Tertutup di tingkat 3 bangunan sekolah. Harrith meminta kerusi untuk duduk di luar dewan. Aku sengaja membiarkan Harrith berdiri di luar dewan. Itulah hukuman yang wajar untuknya kerana dia enggan masuk ke kelas Pra. Dalam perhimpunan itu, aku diberi peluang untuk memperkenalkan diri. Aku berpuas hati. Setelah selesai perhimpunan, aku cuba mencuri-curi memerhatikan anakku di luar. Rupanya, ada rakan guru yang memberikan dia kerusi. Harrith juga terpandang kepadaku sambil senyum sedikit. Sebaik sahaja keluar dewan, aku memujuk Harrith ke kelas Pra dengan tujuan untuk mengambil beg yang telah ditinggalkan pagi tadi. Dengan bantuan Pembantu Pra, aku terus meninggalkan Harrith di situ. Aku percaya Harrith dapat menyesuaikan dirinya ke dalam kelas Pra. Aku cukup optimis dengan kebolehan Harrith. Cuma dia dimanjakan sedikit kerana dia anak bongsu. Itu aku akui sendiri. Setelah kelas Pra tamat aku pun datang menjemputnya di kelas tersebut. Alhamdulilah....cikgu Pra, Pn. Siti Rahayu memberitahu Harrtih tidak menghadapi sebarang masalah. Malah cool lagi. Tahniah kepada Harrith. Aku terus memujuknya supaya esok pergi ke sekolah lagi. Pelbagai umpan yang diberikan antaranya seronok, banyak mainan, ada ramai kawan, cikgu baik, ayah kerja kat sekolah ini, belajar tak lama, ajak pergi ke bilik komputer main games, dan yang pasti balik nanti aku terpaksa bawa ke seven eleven sebab dah janji masa pergi tadi. Aku hampir terlupa, hari ini aku cuma masuk dua kelas sahaja iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 sahaja. Kesimpulan, objektif tu sebagai seorang ayah dan guru tercapai dan berjaya pada hari ini.

0 comments: