/* ini adalah untuk memasukkan google analytic* line 453/

Thursday, January 21, 2010

Muara Sungai Parit Kuda

Pernahkah kalian mendengar nama kampung Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor. Kalau kalian nak tau, kampung ini terletak di km.16 antara Jalan Batu Pahat-Muar. Antara keistemewaan kampung ini ialah ianya berdekatan dengan laut Selat Melaka. Muara sungainya hanya 80 meter dari jalan utama Batu Pahat-Muar. Di muara tu ada jeti nelayan. Dari jeti itu kita boleh lihat kapal-kapal yang belayar merentasi Selat Melaka.Bagi kaki pancing, kalian dialu-alukan untuk mencuba nasib di sini.

(Kelihatan jeti dan bot-bot nelayan di hujung sana yang mengadap Selat Melaka)

Tuesday, January 19, 2010

Kolam Air Panas Sungai Gresik


Semalam aku ada ceritakan tentang kolam air panas Sg Grisek. Kolam air panas semulajadi ini memang unik. Pertama airnya panas berwap, tidak pernah kering walaupun musim kemarau, dan warna airnya jernih (sepatutnya coklat kehitaman sebab di sini kawasan tanah gambut). Semasa zaman kanak-kanak aku dan rakan-rakan sekampung rajin juga pergi ke sini dengan menaiki basikal. Masa tu tak rasa jauh. Tapi sekarang bila aku pergi dengan kereta atau motosikal terasa jauh juga. Patutlah mak bapak aku risaukan tentang keselamatan aku kalau pergi ke kolam air panas ni. Oleh itu bagi kalian yang datang ke Muar-Batu Pahat, jangan lepaskan peluang keemasan untuk singgah di kolam air panas Sg.Gresik. Bagi mereka yang berpenyakit, disarankan mencuba menjalani terapi di sini. Air tu halal diminum. Bagi yang belum pernah datang ke sini, pesanan daripada aku, jangan nak cuba-cuba berenang dalam kolam tu. Ini bukan kolam mandi tapi kolam air panas. Pas tu leh singgah rumah aku. Pastikan kalian menghubungi aku dulu sebelum datang. Bolehlah aku jadi pemandu pelancong. Bolehlah aku dapat tips daripada kalian. He he he..

Monday, January 18, 2010

Panorama Sepanjang Perjalanan Ke Sekolah

Kali ini aku ingin memaparkan beberapa pemandangan yang boleh dinikmati sepanjang perjalanan aku ke sekolah. Sebenarnya pelbagai laluan yang boleh aku ikuti kerana banyak jalan potong. Ini adalah jalan utama yang mesti aku tempuhi iaitu kampung Sarang Buaya. Antara yang menarik di kawasan ini ialah ada sawah padi. Kawasan ini juga terkenal dengan Agrotourismnya. Di sini juga ada homestay. Kelihatan bot-bot nelayan di tepi sungai Sarang Buaya. Sungainya agak lebar dan bersih serta tenang. Bagi yang gemar memancing aku sarankan cubalah memancing di sini. Jangan terpancing buaya sudah lar.

Thursday, January 14, 2010

Musim Buah-buahan


Sebelum kami berpindah balik ke Pt Kuda, pokok buah-buahan yang ada disekeliling rumah boleh tahan juga berbuah. Kalau dilihat pada putik yang ada rasanya puas memakannya. Cuma kami tidak dapat menikmati semuanya itu kerana sewaktu kami balik semasa bercuti, musim buah tersebut telahpun habis. Kami berharap pada tahun ini, setelah kami berpindah di sini, pokok buah-buahan yang ada tu dapat berbuah dengan lebat sekali. Baru-baru ni baru kami perasaan ada segugus buah duku yang sedang masak di pokok tepi rumah. Mungkin ini petanda rezeki kami ada dan melimpah ruah kehendak-Nya. Tapi tak ler banyak cukup sekadar untuk menjamah kami sekeluarga je. Kalau teringin sangat nak makan, bila musim buah-buahan kami beritahu kepada kalian semua.

Wednesday, January 13, 2010

Aksi Harrith Di Pra SK Pt Nawi


Sebenarnya dah lama aku nak tunjukkan gambar si Harrith sedang belajar di Pra SK Pt Nawi. Gambar ini kira "candid camera" sebab tu dia macam marah je...Alhamdulilah kini Harrith dah macam murid-murid yang lain. Kira dah rajin nak ke sekolah. Pagi tadi dia sendiri masuk ke kelasnya tanpa kupimpin seperti sebelumnya. Balik pun dia dah tau pergi cari aku di bilik guru atau bilik akses. Untuk makluman kalian semua, kami warga SK Pt Nawi ada uniform koperat sendiri. Uniform ini dipakai pada setiap hari Rabu. Segakkan....sebab tu dapat masukkan dalam cover majalah Vogue.

Tuesday, January 12, 2010

Kembali Sibuk

Apa khabar kalian semua. Diharapkan semuanya sihat dan ceria. Sekarang ini sudah masuk minggu ke-2 persekolahan. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita. Apatah lagi dengan tugasan-tugasan yang diterima dan perlu dilaksanakan. Kadang kala membuat kita tidak terasa masa telahpun berlalu. Walau bagaimanapun saya cuba mengemaskinikan blog ini bila ada kelapangan. Bagi yang rajin menyinggah di blog ini, saya ucapkan terima kasih atas sokongan kalian semua. Semuanya ini dapat memberi kekuatan untuk saya terus memblog. Sekarang ini saya telah masukkan beberapa gambar yang berkaitan. Diharap ianya dapat menceriakan lagi blog ini. Sebenarnya banyak perkara yang hendak diperkatakan tapi saya harap semuanya dapat bersabar kerana ruang masa belum mengizinkan lagi. Cuma nak selitkan gambar salah seorang pelakon Tari Tiarana yang kebetulan pada masa tu sedang membuat penggambaran di hadapan rumah kami di Pt Kuda, Semerah, Batu Pahat. Kalau tidak silap, Shanaz ni berlakon satu drama dalam program Astro. Scene yang diambil pada masa tu adalah Shanaz jadi Mat Rempit. Untuk scene itu sahaja punya lar lama dan berkali-kali. Patutlah mereka (pelakon-pelakon) diberi bayaran yang agak lumayan kerana bukan senang nak berlakon.

Wednesday, January 6, 2010

Masih Teruja

Salam 1Malaysia buat semua pembaca blog "Tentang Aku". Rasanya kini aku telah dapat mengadaptasikan diriku dengan sekolah baru. Begitu juga dengan anakku si Harrith. Kini terasa keserasian dan kemesraan wujud dalam diriku dan sekolahku. Aku berasa amat tenang sekali. Rakan-rakan di sini pun amat memahami dan bekerjasama. Semangat kekeluargaan memang amat ketara di sini. Tidak kira senior ataupun junior. Baik pihak atasan mahupun bawahan. Oh, ya! Aku baru sempat memasukkan beberapa keping gambar bilik stor sukan SK Parit Nawi yang sempat aku ambil baru-baru ini. Aku amat teruja nak masukkan gambar-gambar persekitaran sekolah yang begitu mempesonakan, ceria dan kondusif. Insya Allah, kalau ada kelapangan aku masukkan. Masalahnya aku gunakan kamera hp. Dahtu pulak, memori dah penuh. Sebenarnya gambar-gambar nie untuk tatapan rakan-rakan khususnya Cikgu Khairul Anuar di SK Pelangi Indah. Buat teman-teman di luar alam maya, kudoakan semoga kalian sihat dan ceria. Sampaikan salam persahabatan buat rakan-rakan yang tidak sempat untuk membaca blog "Tentang Aku" ini. Sekian.

Sunday, January 3, 2010

Hari Pertama Persekolahan 4 Januari 2010



Hari ini merupakan hari pertama sesi persekolahan 2010. Aku telah bangun seawal jam 5 pagi. Itupun kerana aku terjaga dengan sendirinya. Itu sudah menjadi kebiasaanku. Aku mungkin teruja untuk bertugas di tempat baru. Begitu juga Hanny. Dia juga teruja untuk belajar di sekolah baru. Cuma Harrith...masih lena. Aku dan Hanny cuba mengejutkannya. Memanglah liat sungguh nak bangunkan Harrith. Niatku nak masukkan Pra di SK Pt Nawi mungkin tidak kesampaian. Alhamdulilah...berkat kebijaksanaan Hanny...akhirnya Harrith berjaya dikejutkan. Suasana di kampung sememangnya sejuk. Apatah lagi setelah hujan turun awal 3 pagi tadi. Keadaan ini lebih merumitkan kami hendak pujuk Harrith mandi. Terpaksalah mama sediakan air panas untuk memujuk Harrith mandi. Setelah mandi , kami kemudian bersarapan. Masalah seterusnya ialah dapatkah kami memujuk Harrith supaya bersekolah di Pra Pt Nawi. Memang Harrith tidak mahu ikut kami ke sekolah. Dia mahu bersama mamanya. Puas kami pujuk dengan memberitahu Harrith kononnya mengajak dia melihat sekolah Hanny. Dalam perjalanan dia menangis-nangis hendak balik semula rumah. Pada ketika itu juga kami memujuk dengan pelbagai cara dan cerita yang dapat meredakan keadaan dia. Setelah tiba di sekolah Hanny, keadaan Harrith agak terkawal tetapi setelah menghantar Hanny, Harrtih kembali merengek supaya dihantar balik ke rumah. Aku terus memujuknya...Namun untuk berpatah kembali mungkin tidak mungkin. Aku harus tidak ke sekolah awal kerana hari ini adalah hari pertama persekolahan. Aku perlu hadir di perhimpunan mingguan sekolah pada hari pertama. Bagiku hari pertama sesi persekolahan adalah hari yang paling penting dalam hidupku sebagai seorang guru. Setelah sampai di sekolah, aku terus membawa Harrith ke kelas Pra. Kami disambut oleh pembantu Pra. Dia juga cuba memujuk Harrith namun Harrith tetap ingin mengikuti aku ke bilik guru dan seterusnya ke perhimpunan mingguan. Pagi ini kami berhimpun di Dewan Tertutup di tingkat 3 bangunan sekolah. Harrith meminta kerusi untuk duduk di luar dewan. Aku sengaja membiarkan Harrith berdiri di luar dewan. Itulah hukuman yang wajar untuknya kerana dia enggan masuk ke kelas Pra. Dalam perhimpunan itu, aku diberi peluang untuk memperkenalkan diri. Aku berpuas hati. Setelah selesai perhimpunan, aku cuba mencuri-curi memerhatikan anakku di luar. Rupanya, ada rakan guru yang memberikan dia kerusi. Harrith juga terpandang kepadaku sambil senyum sedikit. Sebaik sahaja keluar dewan, aku memujuk Harrith ke kelas Pra dengan tujuan untuk mengambil beg yang telah ditinggalkan pagi tadi. Dengan bantuan Pembantu Pra, aku terus meninggalkan Harrith di situ. Aku percaya Harrith dapat menyesuaikan dirinya ke dalam kelas Pra. Aku cukup optimis dengan kebolehan Harrith. Cuma dia dimanjakan sedikit kerana dia anak bongsu. Itu aku akui sendiri. Setelah kelas Pra tamat aku pun datang menjemputnya di kelas tersebut. Alhamdulilah....cikgu Pra, Pn. Siti Rahayu memberitahu Harrtih tidak menghadapi sebarang masalah. Malah cool lagi. Tahniah kepada Harrith. Aku terus memujuknya supaya esok pergi ke sekolah lagi. Pelbagai umpan yang diberikan antaranya seronok, banyak mainan, ada ramai kawan, cikgu baik, ayah kerja kat sekolah ini, belajar tak lama, ajak pergi ke bilik komputer main games, dan yang pasti balik nanti aku terpaksa bawa ke seven eleven sebab dah janji masa pergi tadi. Aku hampir terlupa, hari ini aku cuma masuk dua kelas sahaja iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 sahaja. Kesimpulan, objektif tu sebagai seorang ayah dan guru tercapai dan berjaya pada hari ini.